Kek Lapis India @ Cadbury, Walau Renyah Namun Hasilnya Memang Gempak. Sedap Giler.

Kek Lapis India atau Kek Lapis Cadbury ini memerlukan banyak langkah untuk menghasilkannya, namun hasilnya memang berbaloi. Puas dimakan dan cukup sesuai jika dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan kerana sebiji kek boleh mencecah sehingga RM120 ke atas bergantung kepada berapa keping coklat Cadbury yang digunakan.

Resipi perkongsian Niny Syuhada Harmen ini menggunakan loyang bersaiz 9”x9”.

 

Bahan :

450 gm Mentega berkualiti tinggi – gunakan SCS

120 gm Tepung hong kong

220 gm Gula halus – pemilik resipi gunakan 200g

10 biji Telur gred A

100 gm Tepung biskut marie – biskut dikisar halus

65 gm Serbuk horlicks – pemilik resipi gunakan 50 gm

50 gm Serbuk santan (1 paket) – boleh gunakan serbuk santan kara

300 gm Susu pekat manis

2 bungkus kepingan coklat Cadbury

Pewarna kuning – pilihan

Cara :

  1. Panaskan oven pada suhu 170 ~ 180 C menggunakan api grill atau mengikut panas oven masing-masing.
  2. Kemudian sediakan loyang kek dan griskan dengan mentega pada dasar loyang sahaja. Ketepikan.
  3. Dalam bekas mixer, putar mentega dan gula sehingga kembang dan berkrim.
  4. Masukkan telur satu persatu sambil diputar perlahan.
  5. Selepas itu, masukkan tepung biskut marie, horlick, tepung, santan dan susu pekat sedikit demi sedikit. Putar lagi sehingga sebati.
  6. Boleh masukkan pewarna kuning jika suka. Kacau lagi.
  7. Ambil enam sudu makan adunan dan ratakan ke dalam loyang dan bakar sehingga keperangan. Anggaran masa membakar selama 10 minit dan bergantung kepada kepanasan oven. Gunakan api atas bawah. Untuk lapisan seterusnya, gunakan api atas sahaja. Bakar di rak tengah.
  8. Selepas membakar satu lapisan, jangan lupa menekan permukaan atas kek supaya kek padat dan untuk membuang gelembung udara.
  9. Ulangi lapisan dan susunkan kepingan coklat pada setiap lapisan ketiga.
  10. Sejukkan kek sebelum dipotong.

 

Cara menyusun coklat :

  1. Bakar adunan terlebih dahulu. Kemudian susunkan coklat secara rawak. Tutupkan coklat dengan adunan seterusnya dan bakar hingga keperangan. ATAU masukkan adunan dan susunkan coklat secara rawak dan bakar. Terpulang pada keselesaan masing-masing.
  2. Setiap layer dibakar/digril lebih kurang 7-10 minit mengikut kepanasan oven masing-masing.Untuk mendapatkan lapisan yang cantik, setiap lapisan di sukat dengan tepat.
  3. Jangan sapu butter pada sekeliling loyang, hanya sapukan pada dasar loyang sahaja dan lapiskan dengan kertas kek pada dasar loyang. Proses ini untuk mendapatkan hasil lapisan yang rata dan tidak beralun.
  4. Jangan lupa untuk menekan dengan perlahan permukaan kek selepas setiap lapisan dibakar. Ini bertujuan untuk menghilangkan gelembung udara yang terperangkap di dalam kek.
  5. Untuk mendapatkan potongan kek yang cantik, sejukkan dahulu kek di dalam peti ais. Kemudian potong dengan pisau yang tajam.
  6. Cara menyimpan kek, balut kek dengan plastik atau aluminium foil dan simpan di dalam bekas kedap udara. Simpan di dalam peti ais.

Nota:

  1. Biskut marie dikisar halus dan diayak, kemudian baru ditimbang.
  2. Serbuk Horlicks boleh digantikan dengan serbuk nestum bayi jika suka.
  3. Susu dan gula boleh dikurangkan atau dilebihkan mengikut citarasa sendiri.
  4. Gunakan mentega yang berkualiti tinggi untuk dapatkan hasil yang baik. Contoh jenama Anchor dan SCS.
  5. Acuan saiz 9″ x 9″ digunakan untuk kek yang tidak terlalu tinggi. Boleh juga menggunakan loyang 8″ x 8″.

Kredit resipi & foto : Niny Syuhada Harmen

 

Article Categories:
artikal · resepi

Leave a Reply